Pisang bukan sahaja merupakan sumber makanan bagi masyarakat Melayu tetapi mempunyai pertalian erat dalam konteks budaya dan kesusasteraan Melayu. Pantun klasik Melayu menyatakan, "Pisang emas dibawa belayar/ Masak sebiji di atas peti/ Hutang emas boleh dibayar/ Hutang budi dibawa mati". Orang Melayu juga mengambil iktibar daripada pohon pisang dengan mengingatkan diri supaya lebih berhati-hati dalam tindakan yang akan diambil supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Ini adalah hakikat alam. Lantas, pokok pisang yang telah berbuah perlu ditebang untuk memberi ruang kepada pokok pisang yang lain untuk hidup subur dan berbuah.
Ciri-ciri buah dan pokok pisang merujuk kepada khasiat dan nilai-nilai yang ditafsir oleh masyarakat Melayu. Pisang digemari dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu atas sifatnya yang boleh diperam untuk jangka masa tertentu. Hal ini menjadikannya sesuai untuk dibawa sebagai bekalan dalam pelayaran jauh. Pisang turut kaya dengan khasiat yang dipercayai dapat mengawal penyakit mual dan mabuk laut. Pokok pisang mudah dijaga dan buahnya sesuai untuk dijadikan santapan beramai-ramai. Perihal tersebut sekali gus mengilhamkan peribahasa pisang sesikat, digulai sebelanga.