ast loading screen spinner image
Motif Tenunan Melayu mengandungi rahsia keilmuan dan keintelektualan Melayu. Selain bertindak sebagai hasil estetika dan kesenian, motif-motif tenunan Melayu menyampaikan makna yang tersirat kepada pemakainya. Hubungan akrab antara masyarakat Melayu dan alam akhirnya membuahkan ilham bagi motif-motif bersangkutan alam. Antaranya termasuklah motif ‘tampuk manggis’ dan ‘pucuk rebung’. 
Tampuk Manggis
Tampuk Manggis merupakan salah satu motif yang lazim dalam tenunan Melayu melambangkan hikmah dan nilai Melayu. Bagi orang Melayu, buah manggis membawa dua nilai simbolik.  Kelopak tampuk manggis yang terletak di bahagian bawah buah tersebut menjanjikan apa yang perlu kita penuhi. Jumlah kelopak tampuk adalah sama dengan jumlah ulas isi buah manggis. Isinya yang putih melambangkan ‘kebersihan’, ‘kesucian’ dan ‘keluhuran’ nurani atau hati kita.  Hikmahnya adalah marilah kita bersikap luhur dengan memenuhi apa yang telah kita janjikan (Norwani Nawawi, 1989). 

Pucuk Rebung
Pucuk Rebung pula merupakan motif yang diilhamkan daripada pengamatan orang Melayu terhadap sifat pohon bambu. Pohon bambu dianggap sebagai pohon yang berpendirian tinggi dek sifatnya yang tidak mudah rebah sekalipun berhadapan dengan angin yang kencang. Budayawan Melayu mempunyai hikmah bahawa motif pucuk rebung adalah simbolik bagi ‘pohon hayat’ atau ‘bunga semangat’ sebagai manifestasi semula jadi.  Namun demikian, satu lagi pendapat ialah motif tersebut mewakili 'gunung' dan berpunca daripada titik Zat Allah. Motif tersebut memberi gambaran terhadap alam syahadah, alam misali dan alam arwah (Mohamad, 1984). Demikian halnya, motif tersebut kadangkala turut disebutkan sebagai motif 'gunungan'.