ast loading screen spinner image
Puan Salina Hussin

Cikgu Salina Hussin

Guru Pakar

Cikgu Salina Hussin telah berkecimpung dalam kerjaya keguruan  sejak tahun 2000 setelah mendapat Diploma Pendidikan dari NIE-NTU. Beliau telah meningkatkan diri daripada segi akademik dan menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Sastera daripada UniSim pada tahun 2009. Seterusnya, beliau meraih Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu daripada NIE-NTU pada tahun 2018. Beliau menerima Anugerah Guru Arif Budiman pada tahun 2008.

Cikgu Salina pernah berkhidmat sebagai Ketua Kelompok bagi Zon Timur 6 dan merupakan ahli Jawatankuasa Kerja bagi Pakej CEKAP (Primari). Beliau juga antara penulis buku bersiri Nabil dan Nabilah. Semasa berkhidmat di sekolah, beliau pernah memegang jawatan Guru Kanan sejak tahun 2009 dan Guru Peneraju sejak tahun 2015. Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Guru Pakar.  

Beliau telah mengetuai ‘ST Council’ atau Majlis Guru Kanan di sekolah beliau dan telah membimbing serta menjalankan program pembangunan profesional untuk guru-guru berkaitan Pengajaran Pembezaan (DI), penggunaan rutin berfikir dalam Menjadikan Pemikiran Jelas (MTV) dan dalam bidang penilaian formatif (TLC-FA dan DTLC-FA). Beliau juga bertugas sebagai Mentor Pengajaran untuk guru-guru di sekolahnya. Selain itu, beliau turut berkolaborasi dengan guru-guru untuk membina bahan-bahan PdP bagi merangsang pembelajaran yang berkesan di bilik darjah. 

Cikgu Salina amat berminat menggunakan pelbagai strategi untuk merangsang minat murid mempelajari Bahasa Melayu. Strategi-strategi ini pernah dikongsi dengan guru-guru Bahasa Melayu di Seminar Bahasa Melayu anjuran Pusat Bahasa Melayu (MLCS) dan di persidangan antarabangsa.